02 Mei 2010

BERBUAT BAIK LAH!!!


Hampir dua bulan blog ni mempamerkan post yang sama, akibat kekangan-kekangan yang berturut-turut sejak bermula final exam lepas. Alhamdulillah, atas pertimbangan urgent, not urgent dan important, result yang keluar Selasa lepas menunjukkan bahawa betapa pentingnya itqan dalam setiap perkara yang kita lakukan dalam ibadah seharian.

Boiler Plant, GHKL


Esok, genaplah dua minggu kehidupan harian ana dihabiskan di Hospital Kuala Lumpur untuk melaksanakan latihan industri yang bagi ana sendiri, satu pengalaman bekerja yang dalam masa yang sama sangat-sangat menginsafkan bila setiap hari dapat masuk ke ward yang berbeza bersama supervisor untuk membaiki steam paip yang kerap kali rosak lepas dah lebih 15 tahun digunakan. Menatap wajah mereka-mereka yang diuji Allah setiap hari, cukup menginsafkan dan terasa bimbang jika diuji seperti mereka sebelum dapat menyempurkan tanggungjawab sebagai hamba Allah.

Dan semestinya, pengalaman yang juga diperoleh bila keluar bekerja bersama masyarakat ni adalah sikap dan sifat yang berbeza yang terdapat di tempat kerja tersebut. Alhamdulillah, untuk latihan industri ni, ana diletakkan di Loji Dandang (Boiler Plant) dan di sini, boleh ditengok berbagai-bagai sifat dan sikap dalam melaksanakan tanggungjawab yang segala perkara ni, berbalik kepada bagaimana seseorang tu memahami konsep ihsan dalam bekerja. Daripada yang pandai bercakap, tapi duduk atas kerusi malas je, sampaila yang diam, tapi jarang ada kat bilik rehat. Semua ni boleh nampak dan boleh dinilai setiap hari di sini. Ana yakin juga dimana-mana pun semua orang akan mengalami pengalaman yang sama, tapi yang nak ditekankan kat sini adalah satu perkara yang di semua tempat perkara ni tidak difahami bila bekerja. Iaitu ihsan dalam bekerja.

Harini ramai orang faham, ihsan ni berbuat baik kepada ibu bapa, bagi makan binatang, tidak menganiyai sesiapa dan sebagainya yang sungguh-sungguh dihafal ketika kelas KAFA di sekolah dulu. Tapi bila dah mula bekerja, tak ramai orang yang nampak bagaimana perlu berihsan dalam bekerja.

Perkara pertama yang perlu difahami untuk dapat berihsan dalam amalan kita, kita tengok dulu hadith yang terdapat dalam Hadith 40 mengenai ihsan;

"...Ihsan itu ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olahnya engkau melihatNya, tetapi jika engkau tidak melihatNya maka sesungguhnya ia melihat engkau..."

Bila diperhatikan dengan jelas, bermakna setiap manusia yang menyembah Allah perlu melakukannya dengan ihsan iaitu dengan tekun dan sempurna hanya mengharapkan redha Allah. Jika tidak dengan ketekunan, kemungkinan besar ibadah tersebut tidak diterima Allah sebagaimana sabda Rasulullah;

"Sesungguhnya Allah mencintai salah seorang dari kamu jika mengerjakan sesuatu dikerjakan dengan itqan (sungguh-sungguh)." [Tabhrani]

Mungkin ada yang akan bertanya,

"Solat saya, saya lakukan dengan sungguh-sungguh, saya baca Quran pun sungguh-sungguh jugak, puasa pun, OK la tu, saya dah berihsan dalam beribadah!!"

Cuba perhatikan kembali hadith yang ana letakkan di atas, adakah Rasulullah hanya mengatakan ibadah-ibadah wajib seperti solat, puasa dan tilawah? Jelas, Rasulullah mengatakan "mengerjakan sesuatu", bermakna setiap perkara yang dilakukan, bukan hanya ibadah-ibadah wajib.

Dan satu perkara perlu diingatkan kembali kepada mereka-mereka yang menganggap "ibadah" hanya solat, puasa dan zakat serta haji, cuba semak kembali erti lafaz doa istiftah yang dibaca setiap kali solat.

"Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku adalah bagi Allah Tuhan semesta alam" [HR Muslim]

Perhatikan sahabat-sahabat, jika diambil "hidupku dan matiku" pun dah cukup untuk membuat satu kesimpulan bahawa segala perkara yang dilakukan dalam hidup ini mesti dan wajib kerana Allah. Dan bila ianya merupakan sesuatu yang kita cuba lakukan untuk Tuhan, Tuan, Pemilik yang kita sangat harapkan syurganya, patutkah ada manusia yang melakukan kerja dan amanahnya ibarat melepaskan batuk di tangga saja? Bahkan lebih teruk dari itu, ada jugak orang yang seolah-olah membuang kahak pulak di tangga dalam melaksanakan kerjanya.

Dimanakah letaknya ihsan dalam amalan manusia-manusia sebegini? Kalau diperhatikan dalam kehidupan kita seharian hari ini, pasti dapat dilihat hilangnya sifat ihsan dalam hidup manusia bahkan lebih teruk, dalam kehidupan seorang Muslim yang setiap hari melaksanakan solat dan membaca doa istiftah di awal solatnya. Dan memburukkan lagi keadaan ini, orang bukan Islam yang turut sama bekerja dengan mereka turut memerhatikan dan menyebabkan tiadanya qudwah dari Muslim kepada non-Muslim untuk berminat dengan Islam. Astaghfirullah, sangat sayu dan malu bila kadang-kala "uncle" tersebut mengadu berkenaan Si Pulan Bin Si Pulan yang selalu hilang masa bekerja, yang selalu tidur dan ada juga yang hanya datang punch card kemudian petang baru muncul untuk punch card habis bekerja. Tak hairanlah hari ini, tak ramai orang bukan Islam yang berminat dengan Islam melalui qudwah dan akhlaq dari Muslim sendiri. Sebagai penutup, sama-sama muhasabah kata-kata seorang saudara kita sesudah beliau memeluk Islam;

"Alhamdulillah, saya telah memeluk Islam sebelum mengetahui akhlak kaum muslimin"

Cukuplah sahabat-sahabat, cukuplah kelalaian yang selama ini kita lakukan sehinggakan dengan akhlak kita pun kita tak mampu untuk menunjukkan bahawa Islam ini agama yang haq. InsyaAllah moga Allah bagi kekuatan untuk mengubah diri kita dan membantu kita untuk menjadi hamba Allah...Ameennn...

27 Februari 2010

ANTARA SYIRIK, RIYA' DAN MALU

Seringkali terjadi pada diri kita sendiri mungkin, bila dijemput ke sesuatu majlis, terutamanya majlis-majlis ilmu yang tujuannya perlu hanya satu iaitu kerana Allah, akan tercetus dalam minda kita,
"Err malu la nak pegi, dahla tak pernah-pernah hadir, nanti mesti orang gelak-gelak sebab aku tak pernah datang..."
"Eishh takmau la chek, chek malu la nak masuk dalam kelas tu, oghang ghamai sangat..."
"Malu la nak pi usrah, derang dah lama ikut, aku baru nak masuk, mesti nanti aku cam jahil je..."
Sedarkah kita wahai ikhwah dan akhwat, kata-kata kita itu sebenarnya boleh mengundang satu keadaan yang kurang menyenangkan bila dilihat dari sudut keikhlasan dalam mengerjalan 'ibadah kepada Allah. Adakah selama ini kita melakukan sesuatu perkara, kerana pandangan manusia? Jika manusia bakal memandang jelek, mentertawakan kita bila kita melakukan sesuatu 'ibadah itu, patutkah kita berasa malu sedangkan ianya suatu 'ibadah, yang hanya Allah akan menilai dan akan menerima amalan tersebut, bukannya manusia? Berkata seorang ulama' berkenaan dengan perkara ikhlas ini:
Jika manusia melakukan sesuatu kerana manusia, itu adalah syirik,
Jika manusia meninggalkan sesuatu kerana manusia, itu adalah riya',
Jika manusia melakukan sesuatu hanya kerana Allah, itulah Ikhlas.
Maka, tidak perlulah untuk berasa rendah diri, malu dan segan untuk hadir ke majlis-majlis ilmu. Tidak ada sesiapa pun yang hadir dalam majlis tersebut yang dapat memberikan manfa'at akhirat kepada kita, bahkan manfa'at dunia pun belum tentu mereka dapat berikan kepada kita.
Berkenaan dengan riya', Ar-Rasul SallAllahu 'alaihiwasallam bersabda;
"Sesungguhnya, sesuatu yang paling aku takutkan dari kalian adalah syirik kecil." Sahabat bertanya, "Apakah syirik kecil itu?" Rasul menjawab, "Riya'... Dan Allah akan berkata pada orang yang riya' di hari kiamat, 'Pergilah kalian kepada orang yang kalian memamerkan amalan kalian pada mereka, dan apakah kalian mendapat balasan dari mereka?'."
(Riwayat Imam Ahmad dan Al-Baihaqi)
Wal'iyadzubillah, sedih, sesal dan terasa bila amat jahil dan rugi bila membaca hadith ini. Kadang-kala sifat malu tak bertempat kita menyebabkan dalam keadaan tidak sedar, kita telah melakukan syirik kecil kerana bimbangkan kata-kata manusia. Letakkanlah sifat malu kita itu pada tempatnya yang paling sesuai iaitu malu dalam melakukan ma'siat kepada Allah. Muhasabah kembali diri kita hari ini...
Kita malu untuk hadir ke majlis ilmu jika waktunya sudah lambat,
Tetapi kita tidak malu melambatkan solat fardhu...
Kita malu untuk bercakap tentang islam,
Tetapi kita tidak malu untuk bercakap soal dunia.
Kita malu itu dan ini jika ianya 'ibadah,
Tetapi kita tidak malu itu dan ini jika ianya ma'siat.
Kesimpulannya, adakah kita malu kepada makhluk?
Sedangkan dengan khaaliq kita, kita tidak malu?
Muhasabah diri, buangkan kejahilan tentang islam dalam diri kita dengan meletakkan Allah sebagai tujuan hidup, dan tanamkan dalam diri bahawa, dunia hanya jambatan akhirat, dunia hanya ibarat selipar Jepun, yang wujudnya hanya untuk berjalan, apabila masuk ke rumah, ditinggalkan selipar tersebut di raknya...
Sebagai khatimah, marilah sama-sama hayati sebuah hadith dan doa Rasulullah...
"Berhati-hatilah kalian dari syirik yang paling kecil, kerana itu lebih rumit dari rerayapan semut." Sahabat serentak bertanya, "Bagaimana caranya, wahai Rasul SAW? "Caranya dengan berdoa setiap pagi dan petang dengan,
"Ya Allah, aku belindung pada-Mu dari menyekutukan-Mu dengan sesuatu dan aku menyedari itu, dan aku meminta ampun dari apa yang tidak aku ketahui."
(Riwayat Imam Ahmad)

24 Februari 2010

IKHTILAT: APA KATA ULAMA SENIOR


Sekadar berkongsi satu artikel yang dicopy dari eramuslim.com. MasyaAllah, wa astaghfirullah, sangat ketat para ulama' menjaga hati anak-anak muda mereka dari dijangkiti penyakit hati. Tak hairanlah dibumi-bumi tersebut lahirnya peribadi seperti Hasan Al-Banna, Yusuf Al-Qaradhawi dan sebagainya, yang andai diminta untuk berjihad, mereka orang pertama menawarkan diri kerana impikan syahid di jalan Allah...


Seorang ulama resmi Saudi senior menyatakan bahwa halal untuk dibunuh yang mengizinkan "Ikhtilat" antara laki-laki dan perempuan yang bukan mahramnya di lapangan pendidikan maupun pekerjaan.


Syaikh Abdul Rahmah Al-Barrak salah seorang ulama Saudi senior dalam pesannya yang disampaikan lewat situsnya, dengan tegas menyatakan bahwa Halal dan boleh dibunuh bagi orang-orang yang mengizinkan percampuran/ikhtilat antara laki-laki dan perempuan di lapangan pendidikan maupun pekerjaan, dan ia menyebut orang yang membolehkan hal ini adalah Kafir dan telah murtad dari Islam.


Syaikh Al-Barrak juga mengecam seseorang yang membiarkan saudara perempuannya atau istrinya untuk bekerja dan belajar di tempat yang terjadi ikhtilat, dia menganggap orang tersebut tidak memiliki rasa kecemburuan.


Pernyataan ulama resmi senior ini tentu saja akan menimbulkan polemik berkepanjangan, sebelumnya seorang anggota dari dewan ulama senior Saudi - Syaikh Dr. Saad bin Abdul Aziz bin Nassir Shitri terpaksa harus dipecat dari posisi sebagai ulama senior, karena berani secara terang-terangan mengecam pendirian kampus milik raja Abdullah Saudi, King Abdullah University of Science and technology (KAUST) yang membolehkan para mahasiswanya bercampur baur di ruang kelas maupun semua tempat yang ada dikampus super modern tersebut. KAUST sendiri secara resmi dibuka pada akhir bulan September tahun lalu.(fq/alqudsalarabi)
Jomm...Perangi ikhtilat!!!(^__^)/"

11 Februari 2010

DIMANA KEDUDUKAN IMAN ITU??!!!

“Iman itu sebanyak tujuh puluh tiga tingkatan; tingkatan tertinggi mengucapkan La Ilaha IllAllah, sedangkan tingkatan terendah adalah menyingkirkan rintangan dari jalan”
[Hadith Riwayat Bukhari no. 9; Muslim no 151, 152 dan Ahmad 11/414]
Tertarik dan terdiam ana bila teringatkan hadith ini ketika tajuk Akhlak sedang dihuraikan oleh Dr Zulfakar tempoh hari. Bila Dr Zulfakar menyebutkan kaitan antara akhlak dan iman, serta merta kata-kata “Iman terendah itu, menyingkirkan rintangan di jalan” menerpa dalam pusat pemikiran otak ini.

Astaghfirullah, andai menyingkirkan rintangan dan mara bahaya di jalan itu adalah tingkatan terendah bagi iman seorang Muslim, bagaimanakah kedudukan iman seorang yang menyebabkan berlakunya rintangan tersebut di jalan yang dilalui oleh manusia lain?

Dalam erti kata lain, hak jalan itu adalah hak antara sesama manusia yang harus diadili tanpa menzalimi, namun harini akhlak ini seringkali diabaikan hingga menyebabkan ada manusia yang dizalimi dek kerana kebiadaban dan sikap mementingkan diri sendiri yang lahir dalam jiwa manusia. Dulu ana pernah mengeluarkan satu post di facebook berkenaan dengan sebuah ambulans yang terpaksa mengesot-ngesot berhampiran Masjid UIA. Ana mendapat maklumat, di dalam ambulans tersebut ada seorang pakcik yang tiba-tiba sesak nafas ketika waktu zohor dan ambulans dipanggil untuk membawanya ke hospital. Namun perjalanan ambulans ini terhenti beberapa minit hanya kerana sebuah proton wira yang diletakkan betul-betul di simpang jalan tersebut.

ALlahua’lam, diwaktu itu, terfikir jugak ana, bagaimana kalau kita yang berada dalam ambulans itu. Atau orang yang kita sayangi sedang nazak dan memerlukan rawatan segera sedang berada dalam ambulans itu? ALlahuakbar wal’iyadzubillah, dimanakah taraf dan kedudukan seorang Muslim yang mengaku beriman sedangkan akhlak dan sikapnya menyebabkan kesusahan pada orang lain, bahkan mampu menyebabkan sebuah kematian?

Jom muhasabah kembali, selama lebih dua dekad hidup ini, bagaimana akhlak kita dalam menyempurnakan hak saudara kita. Moga Allah memberikan kita, manusia-manusia yang mampu berfikir untuk berakhlak dengan akhlak yang baik sepanjang masa dalam kehidupan kita insyaALlah. Sebelum mengakhiri post kali ni, ana ulang sekali lagi kata-kata seorang insan yang baru mengenal islam kepada saudara islamnya;

“Alhamdulillah, saya telah masuk islam sebelum mengetahui akhlak kaum muslimin.”

Wallahua’lam…

29 Disember 2009

KEMALANGAN SANI DAN KETETAPAN SEBUAH KEMATIAN

Hampir separuh dari bahagian kiri bas remuk merempuh pembahagi jalan

Apabila maut datang menjemput, pastikan kita bersedia...

Dua hari lepas, satu Malaysia dikejutkan dengan sebuah perjalanan yang menjadi tragedi ngeri bagi episod sedih dalam diari kemalangan 2009. Buat pertama kalinya seingat ana, bas yang begitu segak bergaya dengan warna merahnya, berukirkan nama SANI EKSPRESS terlibat dalam sebuah kemalangan ngeri yang mengorbankan sepuluh nyawa. Kebanyakan mangsa yang terkorban ialah penumpang di bahagian bawah bas dua tingkat tersebut yang salah seorang yang terkorban itu berasal dari negeri kelahiran ana sendiri.

Sengaja ana meletakkan entri kali ini berkaitan dengan tragedi bas tersebut. Bukan kerana nama bas tersebut mirip nama ana, bahkan ejaannya pun sama, dan jugak bukan pula sebab mangsa yang meninggal dunia tersebut berasal dari Perlis. So disini name and state bias tak wujud ye:)

Hmm bila sekali berfikir, yes, it is taqdir. Allah telah menetapkan, sepuluh dari 48 orang penumpang dalam bas tersebut akan terkorban dalam kemalangan yang asbabnya dikatakan, pemandu tersebut telah terlelap. Tetapi setelah beberapa kali berlakunya kemalangan seumpama ini, dengan yang paling tragisnya berlaku di Merapuh menjelang Syawal beberapa tahun dulu, timbul satu pertanyaan. Setelah dikaji, diperbaiki sistem pengurusan kenderaan awam ini, kenapa masih berlaku tragedi yang menyebabkan ibu bapa kehilangan anak-anak, anak-anak kehilangan ibu bapa dan sebagainya ini?

Bila berlaku kemalangan yang meragut banyak nyawa begini, semua orang mula bising, LPKP nya, JPJ nya, Puspakomnya, bahkan dalam Buletin Utama semalam, ana sempat tengok ramai yang menghantar email memberi komen berkenaan cara mengelakkan kemalangan seperti ini. Adakah sebelum ini kita tidak pernah memikirkan caranya? Bahkan ana difahamkan, bas tersebut telah dipasang alat "speed limiter" yang hanya membenarkan bas tersebut bergerak dengan halaju 91 km/j. Tapi dua hari lepas, pemandu pulak yang menjadi punca. Waduh-waduh, pening la gini, last-last memang takleh nak ngelak la, bila masuk faktor pemandu, takda cara lagi nak buat, selain dari bagi kesedaran kat pemandu supaya berhenti rehat kalau mengantuk dan ganti pemandu.

Dalam banyak-banyak komen yang ana dengar fasal kemalangan ni, hanya satu komen yang bagi ana sangat bernas dan betul-betul mengetuk hati yang lalai ni dalam mengingati Allah. Cuba fikirkan, kenapa para Rasul, para sahabat, dan orang-orang soleh, jarang ditimpa musibah sebegini? Jawapannya mudah, kerana mereka sentiasa mengingati Allah. Dan mereka sentiasa menjaga hubungan dengan Allah. Tak hairanlah Allah akan jaga mereka walau kemana pun mereka pergi. Bayangkan, cukup hanya dengan seorang, hanya seorang yang sepanjang perjalanan itu berzikir, bertilawah dan mungkin mengingati Allah, mungkin dengan barakah seorang itu, Allah selamatkan perjalanan sekumpulan manusia tu dari ditimpa musibah. Mustahil tak benda ni berlaku? Tak mustahil sahabat-sahabat semua. Bahkan Allah dah janji, siapa yang jaga hubungan dia dengan Allah, Allah akan jaga dia.

'Ala kulli hal, mungkin ada penumpang bas ekspress tersebut yang berzikir ketika itu, cumanya sampai masa mereka, Allah ambil kembali dalam bentuk begitu untuk bagi pengajaran kepada kita yang mampu melihat dan masih lagi hidup ini. Takziah kepada ahli keluarga mangsa yang terlibat, dan bagi kita yang masih diberi peluang oleh Allah untuk bertaubat ini, ambillah pengajaran. Mati boleh berlaku dimana-mana, tak kira canggih macam mana pun pengangkutan yang kita guna, selamat macam-mana pun jalan yang kita lalui, andai Allah menghendaki kita kembali padanya, tidak mampu kita lari lagi. Apa yang penting, sentiasalah mengingati Allah walau dimana kita berada, agar nyawa kita berakhir dengan sebutan nama Allah dan mengagungkanNya. Kematian pasti akan berlaku, tapi bagaimana keadaan kita ketika dijemput itu membezakan kita dan orang lain...Wallahua'lam....




27 Disember 2009

ERTI SEBUAH TAWADHU'

Ana kongsikan, sedikit ciri-ciri dan sifat-sifat tawadhu' yang ditunjukkan oleh baginda Nabi Muhammad SAW yang ana dapat dalam sebuah seminar beberapa hari lepas...Moga sama-sama dapat memuhasabah kembali perjalanan hidup selama lebih sedekad ini...

Mudah menerima nasihat dari sesiapapun dan berterima kasih kepada orang yang memberikan nasihat walaupun nasihat itu disampaikan dalam cara yang kurang baik
Bagaimana kita menerima teguran? Tambahan pula kalau
yang menegur itu orang biasa-biasa je?
________________________________________________
Tidak akan menghina orang lain kerana kekurangannya dalam urusan agama atau dunia
Setiap orang ada kelemahannya, kita jugak kan?
Adakah kita memperbaiki kelamahannya?
Atau kita makin merosakkannya dengan mencela?
________________________________________________
Tidak merasa jijik untuk duduk bersama orang miskin dan berkelas bawahan
Kita dan mereka sama sahaja. Ingat,
di kubur, di Mahsyar, kita dan semua manusia sama saja.
________________________________________________
Mudah mengakui kesalahan diri walaupun akan mengancam reputasi
Bagaimana kita menerima teguran atas kesalahan kita?
Berterusan memberi alasan, atau mengakui kesilapan?
________________________________________________
Menghadiri undangan tidak kira siapapun yang menjemputnya
Ikhlaskah kita dalam menerima undangan?
Adakah kerana yang mengundang berharta?
Atau kerana Allah?
________________________________________________
Suka membantu keluarga melakukan kerja-kerja di rumah
Rasulullah sering membantu 'Aisyah ketika berada di rumah.
Kita?
________________________________________________
Memulakan salam apabila bertemu dengan Muslim lain
Siapa yang selalu memulakan salam?
Kita atau kita harapkan orang lain yang memulakannya?
Siapakah yang lebih diredhai Allah?
Yang memulakan, atau yang menjawab?
________________________________________________
Tidak suka orang lain berdiri untuk menghormatinya
Ingatlah, yang selalu dikerumuni lalat itu, adalah bangkai!
________________________________________________
Bergaul dengan semua lapisan masyarakat
Perlukah memilih pangkat dan harta untuk berkawan?
________________________________________________
Tidak suka orang berjalan di belakangnya
Elakkan perkara sebegini kerana manusia akan mudah
merasa bangga bila ada pengikut
________________________________________________
Tidak merasa malu untuk pergi ke pasar
Didiklah diri dengan melakukan kerja-kerja
sebegini untuk melembutkan hati
________________________________________________
Menyayangi orang-orang yang lemah
Disini keikhlasan akan terbukti dimana
orang-orang yang lemah sukar
untuk memberikan kita apa-apa,
kecuali jiwa yang lembut dan ikhlas
________________________________________________
Tidak suka mencela makanan
Kita beruntung kerana masih diberikan
rezeki oleh Allah, bersyukurlah...
Wallahua'lam...
Moga kita semua berjaya membentuk diri yang tawaddu',
dan jiwa-jiwa yang ikhlas kerana ALLAH...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...