Risdah adalah seorang suri rumah sepenuh masa. Suami Risdah, Usin, seorang pekerja di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur. Walaupun Risdah adalah seorang isteri yang taat dan menurut kata suami, namun beliau sentiasa menjadi bahan untuk melepaskan geram oleh suaminya yang bengis. Setiap hari, bagaikan melakukan riadhah diwaktu petang, Usin akan menendang, menumbuk dan meninju Risdah bagi melepaskan geram dan tekanan yang beliau dapat dari tempat kerjanya. Kalau sehari Usin tidak melakukan ‘riadhah’ tersebut, mungkin Usin lupa atau beliau keluar melakukan tugas-tugas diluar daerah.
Akibat tidak tahan lagi dengan sikap Usin yang tidak romantic dan sangat kasar melayannya, Risdah mengambil keputusan untuk meminta cerai dari Usin seandainya Usin sudah tidak mahukannya lagi. Maka Risdah pun mengambil keputusan untuk meminta dimerdekakan dari Usin ketika Usin pulang dari kerja nanti.
Belumpun sempat Usin melakukan riadhahnya petang itu, Risdah pun berkata, “Kekanda, jika kanda sudah tidak mahukan dinda lagi, lepaskanlah dinda. Jangan biarkan dinda tersiksa dengan sikap kasar kanda lagi. Kasihanilah dinda wahai kanda!!”. Maka Usin pun tersenyum jahat dan berkata, “Ooo hang nak aku ceghai hang no, okeh, Risdah, aku ceghaikan hang dengan talak 1!!!”. Maka Risdah pun tersuka-suka gembira kerana merasa telah dimerdekakan oleh Usin. Risdah pun merujuk perkara tersebut ke mahkamah syari’ah.
Perkara pertama yang Usin dan Risdah perlu hadapi ialah, mereka didenda kerana telah bercerai di luar mahkamah. Qadi mengingatkan, “kalau hampa nak berceghai lain kali, mai sembang ngan mahkamah dulu, kami nak kaunseling dulu, kalau tak boleh sangat dah nak baik, baru cerai!!” So inilah hikmat mengapa qadi menyuruh pasangan yang bermasalah merujuk kepada mahkamah syari’ah terlebih dahulu. Maka setelah dibicarakan, Risdah dan Usin pun gugur status mereka sebagai suami isteri.
Selepas tiga hari Risdah menikmati ‘kemerdekaan’ yang diberikan oleh Usin, tiba-tiba Risdah mendapat satu sms dari Usin. “Dah, aku nak rujuk balik la dengan hang, aku insaf dah…”. Maka selepas mendapat perkenan mahkamah, lucutlah kembali status ‘merdeka’ yang diperoleh Risdah tiga hari lalu. Dua minggu berlalu, Risdah mendapati kata-kata insaf Usin dalam sms nya, hanyalah palsu semata-mata. Usin kembali menjalankan rutin petangnya iaitu memukul dan menumbuk Risdah bagi memuaskan hatinya.
Maka Risdah pun kembali merujuk kesnya ke mahkamah syari’ah. Dan nasihat dari Qadi, “Hang pun ritu, kalau betoi-betoi nak merdeka, kena talak 3 baru merdeka. Dia nak jajah (rujuk) hang balik dah susah. Ni hang mintak merdeka yang satu, yang sebahagian tu ja, senang la dia nak jajah balik…”
Jadi macam-mana kes Risdah diselesaikan, wallahua’lam… Ana tak mengikuti kes ni pun. Ana Cuma ambik sebahagian ja sebab ana nak membawa perbincangan berkaitan dengan “merdeka”. Kita baru ja menyambut ulang tahun memperingati hari Malaysia dimerdekakan secara zahirnya yang ke 51 tahun kan. Alhamdulillah… Dan kita jugak, enam jam lepas, baru ja dimerdekakan sementara waktu oleh Allah, daripada konkongan syaitan dan iblis. Perlu difikirkan disini, adakah kita merdeka negara dan diri dari syaitan sepenuhnya? Atau kita hanya merdeka sebagaimana Risdah merdeka dengan talak 1? Dengan mudah kan Usin menjajah Risdah kembali.
Antum perasan tak kenapa ana letak, ‘dimerdekakan secara zahirnya’ dan ‘dimerdekakan sementara waktu’ dalam perenggan sebelum ni? Ana nak kita sama-sama fikirkan, mengapa kita hanya zahirnya merdeka dan kita sementara ja merdeka, dalam konteks Negara Malaysia dan dalam bulan Ramadhan?
Cuba kita soroti balik, berapa kali dah kita sambut ulang tahun memperingati hari disiyhtiharkan Malaysia merdeka ni? 51 kali dah kan? Soalan ana,
Adakah kita merdeka…
Kalau kita duk lahirkan anak-anak yang derhaka?
Adakah kita merdeka…
Kalau anak-anak kita dimurtadkan secara terbuka?
Adakah kita merdeka…
Kalau pakaian remaja kita, tutup atas bawah buka?
Adakah kita merdeka…
Kalau anak-anak gadis kita belum nikah tapi perut dah besar buah nangka?
Adakah kita merdeka…
Kalau kita semua asyik ikut telunjuk Amerika?
Adakah kita merdeka…
Kalau kita setuju dengan bisikan syaitan yang Allah murka?
Dan adakah kita sudah merdeka…
Bila segala perbuatan kita adalah perbuatan ahli-ahli neraka????
Enam persoalan yang perlu dijawab oleh kita semua hari ini. Tak payahlah pacak bendera sana sini kalau semua persoalan kat atas dan beberapa lagi yang tak dinyatakan belum dapat kita selesaikan.
Sempena Ramadhan 1429 H yang kita baru masuk ni pulak, kita kena fikir jugak, bagaimana kita nak merdeka selama-lamanya dari konkongan syaitan? Dah lebih 20 tahun kita hidup, berapa kali dah kita diberi peluang oleh Allah untuk merdeka dari syaitan yang celaka. Tapi setiap kali habis Ramadhan, pasti syaitan dapat menjajah kita kembali. Perkara-perkara yang fasad, yang maksiat, yang mazmumah, kita hanya berhenti melakukannya sebulan. Tapi lepas raya, kita kembali buat semua tu. Kenapa kita tak boleh ambil pengajaran dan peluang ‘merdeka’ yang Allah bagi ni? Muhasabah kembali apa yang perlu kita lakukan agar kita dapat menyediakan diri kita sebaiknya dalam Ramadhan kali ini untuk mengecapi kemerdekaan dari syaitan yang berkekalan. Mudah-mudahan Allah bantu kita semua insyaAllah…
Wassalam…
Tambahan: Cerita Risdah dan Usin di atas hanyalah rekaan semata-mata, sememangnya tiada kes Risdah dan Usin dalam database mahkamah syari'ah insyaAllah. Cerita tu diinspirasikan dari penyampaian ahli panel "Forum Merdekakah Kita??", Tuan Syeikh Ahmad Faisol Hj Omar, Qadi Daerah Kubang Pasu Kedah, yang ana hadiri di kampung ana semalam. Wallahua'lam...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan