13 September 2008

SEBUAH PELAYARAN



Di sebuah lautan yang terbentang luas, kelihatan sebuah kapal sedang belayar meredah ombak yang kadang-kala tenang dan kadang-kala ganas. Dengan rahmat dan kasih sayang Allah, kapal itu masih selamat belayar menuju ke satu destinasi yang juga ditujui oleh kapal-kapal lain.

Struktur kapal itu pula, didalamnya terdapat dua buah dek yang mana dek bawahnya diduduki oleh segolongan manusia yang jahil manakala dek atas diduduki oleh manusia yang cerdik serta berilmu.

Pada suatu hari yang agak panas, dikala sang mentari memancarkan cahayanya ke laut, rasa haus yang amat sangat mula dirasai oleh golongan dek bawah. Mereka pun menghabiskan air minuman yang dibawa sehinggakan tiada lagi, walaupun setitis, air untuk diminum dan untuk dijadikan sebagai air mandian. Golongan ini pun menghantar seorang wakil bagi meminta kebenaran untuk mengambil air dari dek atas kerana mereka tidak dapat mengambil air dari bahagian bawah yang tertutup dengan dinding kapal itu.

Dengan berat hatinya, seolah-olah tidak ingin berkongsi kelebihan yang mereka miliki, golongan dek atas inipun membenarkan golongan bawah untuk menggunakan dek mereka untuk mengambil air dari lautan. Alangkah gembiranya golongan bawah ini, mereka pun dengan pantas, baldi demi baldi, membawa air-air itu ke dek bawah. Kekerapan golongan bawah ini mengambil air dari dek atas menyebabkan golongan dek atas merasa tidak senang hati melihat terlalu ramai golongan bawah ini naik dan bercampur dengan golongan mereka. Apatah lagi kerja-kerja mengangkut air ini telah menyebabkan dek atas menjadi becak dek kerana air yang menitis dari baldi-baldi golongan bawah.

Pada suatu hari, golongan atas ini dengan tegasnya menutup pintu ke bahagian atas bagi menghalang golongan bawah ini naik mengambil air dari dek mereka. Akibatnya, sengsaralah golongan bawah ini menahan dahaga dan hidup dengan tidak selesa kerana tidak dapat membersihkan diri. Golongan atas pula, seolah-olah buta, pekak dan tuli, tidak memikirkan langsung kesan dari tindakan mereka menghalang golongan bawah ini. Walaupun dirayu beberapa kali, mereka masih berkeras menghalang golongan bawah ini naik mengambil air di atas.

Oleh kerana tidak tahan lagi menanggung kesengsaraan yang dihadapi, maka golongan bawah ini pun menebuk lantai kapal bagi mendapatkan air untuk diminum dan meneruskan kehidupan mereka. Jangkaan mereka, jika hanya menebuk sedikit, tiada masalah akan berlaku. tetapi kuasa alam, lubang yang ditebuk seluas sebatang pen, menjadi besar akibat tekanan air laut yang mereka senang tempuhi itu.

Maka, karamlah kapal itu bersama-sama semua golongan yang berada di dalam kapal itu tak kira golongan atas mahupun golongan bawah...

Pengajaran dari cerita ni, bagi umat Islam sekalian, jangan kita hanya memikirkan untuk mengislahkan diri kita saja, tapi fikirkan jugak masyarakat sekeliling kita yang tidak diberikan kelebihan mengenal Allah seperti yang kita dapat pada hari ini. Mereka adalah tanggungjawab kita, seandainya kita meninggalkan mereka di belakang, jangan bermimpi untuk kita berjaya dihadapan. Golongan yang kita abaikan inilah yang akan menarik kita untuk karam bersama-sama mereka di akhirat kelak.

Moga Allah memberikan lebih kekuatan kepada kita semua untuk terus aktif menyampaikan kalimah Allah dimuka bumi ini agar kesejahteraan hidup diakhirat yang kekal abadi menjadi milik semua insan.

Ameennn....

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...