27 Februari 2010

ANTARA SYIRIK, RIYA' DAN MALU

Seringkali terjadi pada diri kita sendiri mungkin, bila dijemput ke sesuatu majlis, terutamanya majlis-majlis ilmu yang tujuannya perlu hanya satu iaitu kerana Allah, akan tercetus dalam minda kita,
"Err malu la nak pegi, dahla tak pernah-pernah hadir, nanti mesti orang gelak-gelak sebab aku tak pernah datang..."
"Eishh takmau la chek, chek malu la nak masuk dalam kelas tu, oghang ghamai sangat..."
"Malu la nak pi usrah, derang dah lama ikut, aku baru nak masuk, mesti nanti aku cam jahil je..."
Sedarkah kita wahai ikhwah dan akhwat, kata-kata kita itu sebenarnya boleh mengundang satu keadaan yang kurang menyenangkan bila dilihat dari sudut keikhlasan dalam mengerjalan 'ibadah kepada Allah. Adakah selama ini kita melakukan sesuatu perkara, kerana pandangan manusia? Jika manusia bakal memandang jelek, mentertawakan kita bila kita melakukan sesuatu 'ibadah itu, patutkah kita berasa malu sedangkan ianya suatu 'ibadah, yang hanya Allah akan menilai dan akan menerima amalan tersebut, bukannya manusia? Berkata seorang ulama' berkenaan dengan perkara ikhlas ini:
Jika manusia melakukan sesuatu kerana manusia, itu adalah syirik,
Jika manusia meninggalkan sesuatu kerana manusia, itu adalah riya',
Jika manusia melakukan sesuatu hanya kerana Allah, itulah Ikhlas.
Maka, tidak perlulah untuk berasa rendah diri, malu dan segan untuk hadir ke majlis-majlis ilmu. Tidak ada sesiapa pun yang hadir dalam majlis tersebut yang dapat memberikan manfa'at akhirat kepada kita, bahkan manfa'at dunia pun belum tentu mereka dapat berikan kepada kita.
Berkenaan dengan riya', Ar-Rasul SallAllahu 'alaihiwasallam bersabda;
"Sesungguhnya, sesuatu yang paling aku takutkan dari kalian adalah syirik kecil." Sahabat bertanya, "Apakah syirik kecil itu?" Rasul menjawab, "Riya'... Dan Allah akan berkata pada orang yang riya' di hari kiamat, 'Pergilah kalian kepada orang yang kalian memamerkan amalan kalian pada mereka, dan apakah kalian mendapat balasan dari mereka?'."
(Riwayat Imam Ahmad dan Al-Baihaqi)
Wal'iyadzubillah, sedih, sesal dan terasa bila amat jahil dan rugi bila membaca hadith ini. Kadang-kala sifat malu tak bertempat kita menyebabkan dalam keadaan tidak sedar, kita telah melakukan syirik kecil kerana bimbangkan kata-kata manusia. Letakkanlah sifat malu kita itu pada tempatnya yang paling sesuai iaitu malu dalam melakukan ma'siat kepada Allah. Muhasabah kembali diri kita hari ini...
Kita malu untuk hadir ke majlis ilmu jika waktunya sudah lambat,
Tetapi kita tidak malu melambatkan solat fardhu...
Kita malu untuk bercakap tentang islam,
Tetapi kita tidak malu untuk bercakap soal dunia.
Kita malu itu dan ini jika ianya 'ibadah,
Tetapi kita tidak malu itu dan ini jika ianya ma'siat.
Kesimpulannya, adakah kita malu kepada makhluk?
Sedangkan dengan khaaliq kita, kita tidak malu?
Muhasabah diri, buangkan kejahilan tentang islam dalam diri kita dengan meletakkan Allah sebagai tujuan hidup, dan tanamkan dalam diri bahawa, dunia hanya jambatan akhirat, dunia hanya ibarat selipar Jepun, yang wujudnya hanya untuk berjalan, apabila masuk ke rumah, ditinggalkan selipar tersebut di raknya...
Sebagai khatimah, marilah sama-sama hayati sebuah hadith dan doa Rasulullah...
"Berhati-hatilah kalian dari syirik yang paling kecil, kerana itu lebih rumit dari rerayapan semut." Sahabat serentak bertanya, "Bagaimana caranya, wahai Rasul SAW? "Caranya dengan berdoa setiap pagi dan petang dengan,
"Ya Allah, aku belindung pada-Mu dari menyekutukan-Mu dengan sesuatu dan aku menyedari itu, dan aku meminta ampun dari apa yang tidak aku ketahui."
(Riwayat Imam Ahmad)

1 ulasan:

ABU IFFAH berkata...

Tambahan...

Doa yang disertakan dalam post ni adalah antara doa yang terdapat dalam himpunan doa-doa yang ma'tsur (al-ma'tsurat)...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...